Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025
Bab 6 Transformasi Kementerian
6-8
prestasi murid dalam ujian tapisan literasi Bahasa Inggeris (di bawah
LINUS). Bahagian Pembangunan Kurikulum iaitu bahagian peneraju,
akan berkongsi KPI ini dengan Bahagian sokongan seperti BPSH dan
BPG. Kementerian juga akan memastikan KPI selari dan membantu
meningkatkan aspirasi murid dan sistem, seperti yang digariskan
dalam Bab 2 Pelan ini.
Akhirnya, Kementerian berhasrat menggalakkan lebih banyak
kerjasama dalam kalangan Bahagian. Kerjasama di peringkat
pengurusan tertinggi Kementerian memang telah lama wujud melalui
mesyuarat dan perbincangan mingguan dalam kalangan Ketua
Setiausaha, Ketua Pengarah Pelajaran dan Timbalan masing-masing
untuk menyelaras dan mengintegrasi usaha Kementerian di bawah
semua Bahagian. Sekiranya sesuai, Kementerian akan mewujudkan
lebih banyak peluang kerjasama, bukan sahaja dalam kalangan
Bahagian, tetapi juga dalam seluruh organisasi Kementerian. Sebagai
contoh, Kementerian akan mengkaji pelaksanan latihan merentas
Bahagian dan program pinjaman pegawai yang berkebolehan antara
Bahagian.
Memperkukuh kepimpinan JPN dan PPD
Pemimpin yang berwibawa adalah penting bagi memastikan kejayaan
sesuatu perubahan dalam organisasi. Usaha mentransformasi,
organisasi memerlukan pemimpin yang dihormati yang mampu
memacu pelaksanaan proses transformasi dan mendapat kepercayaan
serta sokongan daripada pihak berkepentingan. Selari dengan
pembangunan pelan transformasi yang lebih meluas ini, Kementerian
akan mengorak langkah mengukuhkan kepimpinan JPN dan PPD.
Usaha dapat dilaksanakan dengan menilai prestasi pemimpin JPN dan
PPD sedia ada berdasarkan kompetensi kepimpinan. Kaedah penilaian
yang jelas akan dibangunkan untuk setiap kompetensi kepimpinan
bagi membolehkan penilaian secara objektif dibuat. Pemimpin akan
dikelaskan dalam kumpulan berprestasi tinggi, sederhana dan rendah.
Mereka yang tergolong dalam kumpulan berprestasi sederhana dan
rendah akan diberi sokongan yang dirangka bagi membina kebolehan
meningkatkan mutu kepimpinan mereka. Menjelang akhir tahun 2013,
semua pemimpin JPN dan PPD dinilai dan kemahiran memimpin
ditingkatkan. Pemimpin JPN dan PPD yang gagal mempamerkan
peningkatan walaupun setelah diberi sokongan, akan dinilai semula
dan mungkin dipindahkan untuk mengisi jawatan lain.
Menempatkan SISC+ dan SIPartners+ sepenuh masa
Tindakan lain yang perlu diusahakan dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan ini ialah pemilihan dan penempatan pembimbing guru
(SISC+) dan pembimbing pengetua/guru besar (SIPartners+) sepenuh
masa di peringkat PPD. Seperti yang dinyatakan dalam Bab 4 dan 5,
SISC+ dan SIPartner+ pada masa ini bertugas secara sambilan, justeru
menyebabkan liputan yang tidak konsisten dan tidak mencukupi.
Dengan mewujudkan jawatan sepenuh masa di PPD, pembimbing
akan dapat memberikan tumpuan penuh kepada tugas sebagai mentor
dan membina hubungan yang kukuh dengan guru dan pengetua/guru
besar. Jenis sokongan yang diberikan oleh SISC+ dan SIPartners+
akan disesuaikan mengikut tahap prestasi sekolah tersebut. Pada
penghujung Gelombang 1, Kementerian akan mengkaji semula
keberkesanan program SISC+. Hasil kajian semula ini, Kementerian
akan mengkaji keperluan melaksanakan program ini untuk guru dan
pengetua/guru besar lain dalam Gelombang 2.
SISC+ dan SIPartner+ akan dilantik daripada pelbagai jawatan sedia
ada seperti Guru Cemerlang, Pengetua Cemerlang, pensyarah IAB
dan IPG, FasiLINUS serta pegawai JPN dan PPD sedia ada. Pada
awal 2013, lebih 350 SISC+ (dengan tumpuan awal kepada Bahasa
Malaysia, Bahasa Inggeris, dan Matematik), dan SIPartners+ dijangka
dapat ditempatkan bagi membantu kajian rintis Program Transformasi
Daerah di Kedah dan Sabah. Menjelang 2015, hampir 2,500 SISC+
dan SIPartners+ dijangka akan ditempatkan di semua daerah seluruh
negara.
Mewajarkan fungsi di peringkat Kementerian:
Penaziran sekolah dan jaminan kualiti
Penaziran sekolah adalah penting bagi jaminan kualiti dan
proses kawalan mana-mana sistem pendidikan. Di Malaysia,
fungsi ini dilaksanakan oleh pihak Jemaah Nazir dan Jaminan
Kualiti (JNJK).
Pihak JNJK pada masa ini menjalankan 2,500 penaziran
setahun. Usaha ini meliputi penaziran penuh dan penaziran
bersasaran yang dijalankan berdasarkan aduan yang diterima.
Walau bagaimanapun, penaziran seperti ini hanya melibatkan
peratusan kecil sekolah di Malaysia setiap tahun, dengan lebih
satu pertiga sekolah tidak dilawati dan diperiksa oleh nazir
semenjak 2005.
Kementerian akan mengkaji semula proses penaziran yang
dijalankan pada masa ini bagi menentukan model penaziran
sedia ada dapat diperkemas untuk memastikan setiap sekolah
dilawati dan diperiksa oleh nazir sekurang-kurangnya sekali
setiap tiga tahun. Di samping itu, proses pengambilan sedia
ada juga akan dikaji bagi memastikan JNJK mampu memilih
sekumpulan guru dan pengetua/guru besar berpengalaman
yang mencukupi sebagai nazir. Akhir sekali, Kementerian akan
mempertimbangkan kemungkinan menjadikan JNJK sebagai
entiti bebas yang diberi lebih keluwesan beroperasi dan
kebebasan melapor.
1...,157,158,159,160,161,162,163,164,165,166 168,169,170,171,172,173,174,175,176,177,...300