Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025
Bab 4 Pembelajaran Murid
4-18
Gelombang 1 (2013 - 2015): Mengukuhkan
asas sedia ada
Mengenal pasti, menjalankan intervensi murid berkeperluan
khas lebih awal dan menyediakan sokongan penjagaan
kesihatan
Kementerian akan menggubal dasar pilihan persekolahan murid
berkeperluan khas yang akan dikaitkan dengan tahap kompetensi
yang telah dikenal pasti dengan teliti. murid berkeperluan khas
berkefungsian tinggi yang dapat menyesuaikan diri dengan kurikulum
dan pentaksiran arus perdana digalakkan memasuki program
pendidikan inklusif. murid berkeperluan khas berkefungsian
sederhana akan menghadiri PPKI, manakala murid berkeperluan
khas yang berkefungsian rendah digalakkan untuk belajar di sekolah
pendidikan khas menggunakan kurikulum yang dibina khusus
dengan memberi fokus kepada kemahiran asas, kemahiran hidup dan
kemahiran sosial.
Menjelang 2013, Kementerian akan mengukuh dan memastikan
kelulusan penubuhan bagi 15 Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas
(3PK) yang menyediakan sokongan kepada murid berkeperluan khas.
Kementerian juga akan meningkatkan perkhidmatan kepakaran dari
sumber luar.
Menyediakan kurikulum yang luwes, relevan, dan berkualiti
tinggi
Kementerian akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti dan
kerelevanan pendidikan dengan memasukkan pelbagai kemahiran
vokasional seperti refleksologi dan grafik komputer ke dalam semua
kurikulum pendidikan khas, menaik taraf infrastruktur dan peralatan
dalam sekolah arus perdana dan sekolah pendidikan khas, dan serta
menambah baik kemudahan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas.
Kementerian juga akan menyediakan modul asas latihan pendidikan
khas di IPG dan IPTA, menyedia modul latihan dalam perkhidmatan
dengan tahap kepakaran terbeza (dari peringkat asas hingga peringkat
pakar), serta menyesuaikan kurikulum dan pentaksiran yang khusus
mengikut keupayaan murid. Kementerian akan melibatkan majikan
bagi menyokong usaha ini dan membangunkan satu program transisi
tempat kerja untuk membantu lulusan pendidikan khas memasuki
alam pekerjaan. Hasil daripada usaha ini, Kementerian mengunjurkan
peningkatan tahunan sebanyak 15% dalam enrolmen iaitu daripada
kira-kira 50,000 murid pada 2011 kepada 88,000 menjelang 2015.
Daripada jumlah 88,000 murid, 30% disasarkan untuk enrolmen
dalam program pendidikan inklusif.
Di samping itu, Kementerian bercadang membentuk kerjasama
dengan institusi latihan vokasional, bagi menyediakan ruang
pendidikan alternatif. Kementerian juga bercadang untuk bekerjasama
dengan sektor swasta dan NGO bagi membeli tempat di pusat latihan
vokasional sedia ada dan menentukan garis panduan yang jelas untuk
penyediaan khusus bagi membantu menginstitusikan kurikulum
pendidikan khas yang berkualiti.
Menyediakan guru terlatih dan tenaga pakar
Kementerian berhasrat untuk menjadikan pendidikan khas sebagai
mata pelajaran teras dalam sukatan pelajaran IPG dan IAB bagi
memastikan sumber guru dilengkapkan dengan kemahiran asas dan
kesedaran tentang keperluan murid berkeperluan khas. Di samping
itu, latihan dalam perkhidmatan yang dikendalikan oleh BPG dan IPT
akan ditawarkan kepada guru dan pemimpin sekolah yang berminat
untuk membuat pengkhususan dalam pengajaran dan pembangunan
kurikulum pendidikan khas. Seramai 1,600 guru tambahan dalam
pendidikan khas akan dilatih dalam Gelombang 1. Kurikulum bagi
guru pendidikan khas merangkumi topik seperti pendekatan pedagogi,
psikologi dan teknik mengendalikan murid berkeperluan khas.
Kementerian bersedia menerima khidmat sukarelawan daripada
komuniti untuk saling melengkapi peranan guru yang menguruskan
perkembangan murid berkeperluan khas. Sukarelawan komuniti
akan membantu guru dalam melaksanakan tugasan harian akademik
bersama murid, menghasilkan bahan untuk bilik darjah, dan juga
memenuhi keperluan intervensi murid.
Menyediakan infrastruktur sokongan dan kewangan yang kukuh
Kementerian merancang untuk menggandakan usaha menaik
taraf sekolah sedia ada mengikut keperluan asas pendidikan khas.
Keperluan murid berkeperluan khas juga akan diambil kira dalam
pembinaan sekolah dan penyediaan kemudahan baharu.
Membina kesedaran dan pelibatan awam
Kementerian akan melaksanakan program komunikasi bersepadu
untuk meningkatkan kesedaran mengenai murid berkeperluan khas
termasuk pembangunan laman portal bersepadu, dan melaksanakan
kempen media kebangsaan merangkumi iklan melalui media
elektronik, dan media cetak.
Gelombang 2 (2016 - 2020): Meningkatkan
pelaksanaan inisiatif
Mengenal pasti, menjalankan intervensi murid berkeperluan
khas, dan menyediakan sokongan penjagaan kesihatan
Dalam Gelombang 2, Kementerian akan meningkatkan penyediaan
perkhidmatan intervensi awal, menambah program inklusif
dalam persekitaran prasekolah arus perdana dan meningkatkan
perkhidmatan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
Kementerian juga akan menjalin kerjasama dengan Kementerian
Kesihatan bagi mempercepatkan dan menginstitusikan proses
diagnosis awal kanak-kanak berkeperluan khas.
Menyediakan guru terlatih dan tenaga pakar
Kementerian akan mengukuhkan program latihan dengan memberi
fokus kepada penambahbaikan pelaksanaan Rancangan Pendidikan
Individu (RPI). Kementerian juga akan bekerjasama dengan
Kementerian Kesihatan bagi pengoperasian kumpulan pelbagai
disiplin yang terdiri daripada doktor, terapis dan pakar untuk
untuk melatih guru. Kementerian juga akan memberi sokongan dan
latihan kepada pihak pengurusan sekolah yang ingin melaksanakan
pendidikan inklusif.
Menyediakan infrastruktur sokongan dan kewangan yang kukuh
Kementerian akan memanfaatkan kerjasama yang dibina dalam
Gelombang 1 untuk memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama dengan
organisasi lain seperti NGO, organisasi antarabangsa, organisasi
swasta, dan agensi kerajaan. Sebagai contoh, Kementerian akan
meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi
1...,113,114,115,116,117,118,119,120,121,122 124,125,126,127,128,129,130,131,132,133,...300