Garis Panduan Penubuhan dan Pengoperasian Bilik Gerakan KSSR
Garis Panduan
Penubuhan dan Pengoperasian
Bilik Gerakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
 
1.0 Pengenalan
2.0 Konsep
3.0 Objektif Bilik Gerakan KSSR
4.0 Penubuhan
5.0 Pengisian
6.0 Pengoperasian
7.0 Penutup


1.0 PENGENALAN
 
Transformasi Kurikulum Kebangsaan adalah berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bilangan 6 Tahun 2008 yang dipengerusikan oleh YB Menteri Pelajaran pada 23 Mei 2008. Sehubungan itu, kertas konsep kurikulum persekolahan rendah telah dibentang dan mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bilangan 3 Tahun 2009 pada 2 Oktober 2009.
 
Transformasi ini merupakan satu usaha penambahbaikan dalam sistem  pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan tuntutan semasa bagi menyediakan generasi yang mampu menghadapi cabaran abad ke-21. Penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum ini dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Mulai tahun 2011, KSSR dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan Tahun 1.
 
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membangunkan KSSR berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Di samping itu, fokus transformasi kurikulum adalah kepada kemahiran 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul serta Elemen Merentas Kurikulum (EMK).
 
Seterusnya, pelaksanaan KSSR secara berperingkat dan penglibatan pelbagai Jabatan/agensi di KPM memerlukan kerjasama secara bersepadu dan sistematik agar maklumat dapat dikongsi bersama. Selaras dengan saranan Kerajaan, penyampaian maklumat khususnya pelaksanaan KSSR ini perlu dipertingkatkan untuk makluman warga pendidik. Oleh itu, pengoperasian Bilik Gerakan KSSR (BGKSSR) perlu diwujudkan bagi memastikan pelaksanaan KSSR dapat diurus dengan cekap dan berkesan.
 
Penubuhan BGKSSR adalah bertujuan sebagai pusat pengumpulan data, pendokumentasian bahan dan juga pusat penyebaran KSSR. Segala maklumat berkaitan KSSR dan aktiviti yang telah dilaksana akan didokumentasi dan dipamerkan di BGKSSR tersebut. Bilik gerakan ini merupakan One-stop Center dalam penyampaian maklumat kepada stakeholder dan pelanggan sistem pendidikan negara.
2.0 KONSEP
 
Konsep pengoperasian BGKSSR yang diperkenalkan ini bertujuan memperkasakan pelaksanaan KSSR di setiap peringkat dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan pelaporan. BGKSSR  yang disyorkan bagi peringkat Bahagian dan JPN adalah sebuah bilik khusus tanpa ketetapan saiz fizikal yang standard. Bagi peringkat PPD dan sekolah, BGKSSR boleh dioperasikan secara minimum seperti di suatu sudut. Sekiranya mempunyai kemampuan dan kemudahan, BGKSSR sebaik-baiknya dioperasikan di dalam sebuah bilik khas. BGKSSR juga boleh menggabungkan pelaksanaan dasar atau program penting KPM yang lain. Ini bermakna, BGKSSR tidak dioperasikan secara tersendiri tetapi boleh digabungkan dengan pelaksanaan dasar atau program lain yang sedang dalam pelaksanaan.
 3. OBJEKTIF BILIK GERAKAN KSSR
 
BGKSSR adalah berperanan sebagai one-stop centre bagi pelbagai maklumat dan data khusus untuk mencapai objektif seperti berikut:
    (i)
Memberi pengetahuan asas berkaitan transformasi kurikulum baru kepada kumpulan sasaran;
 
    (ii)
Memberi maklumat lengkap berhubung kaedah pelaksanaan kurikulum baru beserta sistem pentaksirannya;
 
    (iii) Meningkatkan pemahaman kumpulan sasaran tentang prosedur dan pelaksanaan dasar-dasar baru yang dilaksanakan;  
    (iv) Memberikan pengetahuan dan maklumat mendalam tentang program khas yang dilaksanakan oleh KPM; dan  
    (v) Menyampaikan pelaksanaan kurikulum kebangsaan secara sistematik dan profesional.  
4.0 PENUBUHAN
 
Pewujudan BGKSSR memainkan peranan penting dalam menguruskan dan memantau aktiviti pelaksanaan secara komprehensif, menerima data dari pelbagai sumber, menyebarkan maklumat serta sebagai pusat perhubungan dan komunikasi. BGKSSR juga boleh menjadi pusat yang menguruskan pelbagai aduan atau isu tentang pelaksanaan KSSR serta menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa mengikut keperluan atau arahan dari pihak atasan di peringkat masing-masing. Oleh yang demikian, penubuhan BGKSSR menekankan perkara-perkara seperti berikut:
  4.1 Ciri-ciri Utama BGKSSR
    (i) Kondusif - Pembinaan BGKSSR perlu mengambilkira kesesuaian ruang fizikal yang boleh disusun atur bagi membolehkan pelbagai aktiviti dijalankan seperti khidmat nasihat, pameran, perbincangan, perhubungan, penyimpanan data dan bahan.  
    (ii) Selamat - Elemen selamat yang dimaksudkan merujuk kepada elemen yang boleh memastikan keselamatan penyelaras, bahan, data dan aktiviti yang dijalankan di dalamnya.  
    (iii) Mesra Pelanggan – Elemen mesra pelanggan bermaksud sebuah bilik yang mudah akses dari segi lokasi dan perkhidmatan untuk mendapatkan maklumat.  
    (iv) Sistematik - Pengoperasian bilik gerakan perlu dilakukan secara sistematik dari segi pelaksanaan aktiviti, penyelarasan, penyimpanan dan penyebaran maklumat. Oleh itu, setiap bilik gerakan disyorkan supaya mewujudkan Standard Operating Procedure (SOP) masing-masing.  
    (v) Informatif - Data dan maklumat perlu dibangun, diselaras, disimpan dan disebarkan secara berterusan. Setiap bilik gerakan perlu menekankan perkara ini supaya data dan maklumat yang terdapat di dalamnya boleh memenuhi pelbagai keperluan.  
    (vi) Tempoh Masa - Pengoperasian sesebuah bilik gerakan bersifat sementara atau dalam jangkamasa tertentu. Kebiasaannya sesebuah bilik gerakan dioperasikan sepanjang sesuatu dasar/program/situasi itu sedang dalam pelaksanaan. Bagi pelaksanaan KSSR, tempoh pengoperasian bilik gerakan dijangkakan selama enam (6) hingga tujuh (7) tahun. Walau bagaimanapun, setiap Bahagian/JPN/PPD/sekolah boleh menetapkan tempoh masa berdasarkan kepada keperluan masing-masing agar dasar atau program baru boleh mengisi bilik gerakan tersebut.  
  4.2 Fungsi
    Fungsi BGKSSR perlu ditetapkan mengikut objektif, kemudahan dan tenaga kerja sedia ada berdasarkan peringkat di mana bilik gerakan itu beroperasi. Semua pihak yang akan menubuhkan bilik gerakan perlu mengambil maklum bahawa fungsi BGKSSR adalah tertakluk kepada kapasiti dan kemampuan agensi berkenaan.
  4.3 Penubuhan Jawatankuasa
    Bagi memastikan pengoperasian secara optimum dan berterusan dicadangkan beberapa jawatankuasa ditubuhkan. Jawatankuasa ini mempunyai peranan penting dalam membuat keputusan dan memastikan pelaksanaannya. Jawatankuasa yang perlu diwujudkan adalah seperti berikut:
    (i) Jawatankuasa Bertindak BGKSSR;  
    (ii) Jawatankuasa Pengoperasian BGKSSR; dan  
    (iii) Jawatankuasa Audit BGKSSR.  
    Semua ahli perlu dimaklumkan mengenai:  
    (i) Konsep dan Skop Operasi;  
    (ii) Matlamat dan Objektif;  
    (iii) Fungsi;  
    (iv) Pengisian;  
    (v) Proses Penubuhan; dan  
    (vi) Peranan setiap ahli.  
  4.4 Keperluan Penubuhan BGKSSR  
    A. Lokasi  
    Pemilihan lokasi BGKSSR haruslah menitik beratkan perkara berikut:  
    (i) Ruang sedia ada;  
    (ii) Mudah Akses;  
    (iii) Kemudahan Telekomunikasi/Internet;  
    (iv) Keselamatan; dan  
    (v) Kondusif.  
    B. Peralatan  
    (i) Talian Telefon – hotline, sms; dan  
    (ii) Peralatan TMK – Komputer, Pencetak, Mesin Fotokopi.  
    C. Reka Bentuk dan Susun Atur  
    (i) Ruang Pameran;  
    (ii) Ruang Perbincangan;  
    (iii) Ruang Perhubungan;  
    (iv) Ruang Penyimpanan Data;  
    (v) Ruang Kerja;  
    (vi) Peralatan Audio-Visual;  
    (vii) Panel Pameran;  
    (viii) Rak Buku;  
    (ix) Meja dan Kerusi;  
    (x) Penghawa Dingin/Kipas;  
    (xi) Alat Pemadam Api;  
    (xii) Kawalan Haiwan/Serangga Perosak;  
    (xiii) Kabinet/Almari Fail;  
    (xiv) Papan Kenyataan;  
    (xv) Papan Putih; dan  
    (xvi) Peti Kecemasan.  
    D. Jangka Masa  
    Tidak ada jangka masa yang ditetapkan dalam menubuhkan BGKSSR. Usaha ini banyak bergantung kepada keperluan, kemudahan sedia ada, saiz fizikal, konsep dan skop operasi. BGKSSR boleh ditubuhkan dalam masa yang singkat jika keperluan asas telah diambilkira. BGKSSR yang bersifat minimal boleh diwujudkan dalam jangka masa dua (2) minggu hingga satu (1) bulan.
    E. Sumber Kewangan
    Bagi tujuan penubuhan BGKSSR, Bahagian/jabatan/agensi perlulah mengambil inisiatif merancang keperluan dan menjana sumber kewangan sendiri. Pihak jabatan atau agensi boleh menggunakan sumber kewangan sedia ada dan berusaha mempertingkatkan kemudahan bilik gerakan dari masa ke masa mengikut keadaan kewangan semasa.
    F. Sumber Manusia
    Bagi mengaktifkan operasi BGKSSR tenaga petugas berikut adalah diperlukan:
    (i) Pegawai Penyelaras; dan  
    (ii) Pegawai Operasi.  
5.0 PENGISIAN  
  BGKSSR memerlukan perancangan dan penjadualan tugas secara sistematik bagi memastikan operasinya berjalan dengan lancar meliputi aspek aktiviti, kewangan, kemudahan, tenaga kerja, pembinaan pangkalan data dan komunikasi. Antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam pengisian BGKSSR adalah seperti berikut:
  5.1 Bahan Pameran Kekal
    (i) Maklumat Umum;  
    (ii) Poster;  
    (iii) Pekeliling Pelaksanaan;  
    (iv) Soalan Lazim;  
    (v) Gambar Aktiviti; dan  
    (vi) Data Tahunan.  
  5.2 Bahan Pameran Berkala
    (i) Data Semasa;  
    (ii) Carta Pelaksanaan Penyebaran;  
    (iii) Gambar Aktiviti; dan  
    (iv) Keratan Akhbar.  
  5.3 Bahan Cetak
    (i) Dokumen Standard – semua mata pelajaran;  
    (ii) Modul – semua mata pelajaran;  
    (iii) Buku Teks KSSR – semua mata pelajaran;  
    (iv) Buku Penerangan KSSR;  
    (v) Brosur;  
    (vi) Laporan;  
    (vii) Data;  
    (vii) Surat Khabar Harian;  
    (ix) Peta Zon/Daerah/Negeri;  
    (x) Poster, Risalah, Katalog, Leaflets; dan  
    (xi) Senarai Alamat, Nombor Telefon, Emel - peribadi, Bahagian dan agensi pelaksana.  
  5.4 Bahan TMK/Digital
    (i) CD Dokumen Standard - semua mata pelajaran;  
    (ii) CD Umum KSSR;  
    (iii) CD Power Point Presentation; dan  
    (iv) Pangkalan data.  
  5.5 Pangkalan Data
    Perlu mempunyai pangkalan data yang dapat menghimpunkan semua data dan maklumat berkaitan pelaksanaan KSSR dari sumber dalaman dan luaran. Pangkalan data ini perlu dibangun dan diuruskan secara sistematik.
  5.6 Jaringan
    Perlu mewujudkan jaringan kerjasama dan perkongsian maklumat dengan pihak yang berkaitan dalam pelaksanaan KSSR.
6.0 PENGOPERASIAN
  Tanggungjawab dalam mengoperasikan BGKSSR adalah dengan memperincikan tugas dan peranan setiap jawatankuasa yang dibentuk seperti berikut :
  6.1 Peranan Ketua Jabatan
    (i) Membentuk Jawatankuasa Penubuhan BGKSSR;  
    (ii) Mempengerusikan Jawatankuasa Penubuhan BGKSSR;  
    (iii) Membuat keputusan mengenai penubuhan BGKSSR;  
    (iv) Merancang dan menyelaras penyediaan sumber peruntukan;  
    (v) Memantau penubuhan dan pengoperasian BGKSSR; dan  
    (vi) Memberi motivasi dan sokongan dalam penubuhan BGKSSR.  
  6.2 Peranan Pegawai Jabatan
    (i) Menyokong pengoperasian BGKSSR;  
    (ii) Menyedia dan menyalurkan data serta laporan pelaksanaan KSSR di peringkat masing-masing;  
     (iii) Menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pelaksanaan KSSR di peringkat masing-masing; dan  
    (iv) Membantu menyediakan maklumbalas berkaitan isu-isu KSSR yang berbangkit.  
  6.3 Peranan Pegawai Penyelaras
    (i) Merancang, menyelaras, mengoperasi dan memantau aktiviti BGKSSR;  
     (ii) Mendapatkan, menerima, mengurus, menyedia dan menyalurkan maklumat/data/laporan pelaksanaan KSSR mengikut keperluan atau arahan pihak atasan;  
    (iii) Mengurus isu dan aduan KSSR yang berbangkit;  
    (iv) Membangunkan pangkalan data pelaksanaan KSSR;  
    (v) Mendokumentasi aktiviti pelaksanaan KSSR untuk tujuan rujukan dan pembacaan; dan  
    (vi) Membangunkan BGKSSR berdasarkan objektif yang telah ditetapkan.  
  6.4 Peranan Pegawai Operasi
    (i) Membantu perancangan, penyelarasan, pengoperasian dan pemantauan aktiviti BGKSSR;  
     (ii) Membantu pencarian, penerimaan, pengurusan, penyediaan, penyebaran dan penyaluran maklumat/data/ laporan pelaksanaan KSSR mengikut keperluan atau arahan pihak atasan;  
    (iii) Membantu pengurusan isu dan aduan KSSR yang berbangkit;  
    (iv) Membantu menjawab panggilan telefon atau pertanyaan berkaitan pelaksanaan KSSR;  
    (v) Membantu pendokumentasian aktiviti pelaksanaan KSSR untuk tujuan rujukan dan pembacaan;  
    (vi) Membantu pembangunan pangkalan data pelaksanaan KSSR; dan  
    vii) Membantu pembangunan BGKSSR berdasarkan objektif yang telah ditetapkan.  
  6.5 Pusat Komunikasi
    Pusat komunikasi diwujudkan sebagai pusat yang merancang, melaksana dan memantau aktiviti penyebaran KSSR melalui:
    (i)  Media Cetak;  
     (ii) Media Elektronik;  
     (iii) Taklimat/Dialog;  
     (iv) Pameran; dan  
     (v)  Hotline.  
   6.6 Pusat Arkib
    Pusat Arkib diwujudkan bertujuan untuk penyimpanan dan memudahkan pengaksesan semula data, laporan, maklumat dan bahan KSSR sama ada dalam bentuk hard-copy atau soft-copy. Pusat ini perlu dibangunkan bagi memastikan segala maklumat dapat diurus dengan sistematik dan cekap.
7.0 PENUTUP
  Pewujudan BGKSSR memerlukan perancangan dan komitmen menyeluruh oleh setiap anggota Bahagian, Jabatan atau agensi yang berkaitan agar dapat memberi impak positif dari aspek penyelarasan, pelaporan, penyebaran dan perkongsian maklumat. Sehubungan itu, setiap anggota dalam Bahagian, Jabatan atau agensi berkaitan mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam memastikan sesebuah BGKSSR terus berfungsi sebagaimana yang dihasratkan. Justeru, BGKSSR yang dioperasikan secara sistematik dan cekap dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan KSSR secara menyeluruh di setiap peringkat.


 






























































































































































































































































































 
 

BAHAGIAN PEMBANGUNAN KURIKULUM
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA