Selasa, September 30, 2014
   
Text Size

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Indeks Artikel
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
Hasrat KSSR
Prinsip KSSR
Bentuk Kurikulum
Fokus KSSR
Organisasi Kurikulum
Pernyataan Standard
Perbezaan KBSR dan KSSR
Pendidikan Khas
Semua Halaman

Web KSSR : www.moe.gov.my/bpk/v2/kssr/

Transformasi Kurikulum

 

Transformasi Kurikulum Kebangsaan bertitik tolak daripada keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.6/2008 yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pelajaran pada 23 Mei 2008. Satu usaha penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu dilaksanakan supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan cabaran semasa serta akan datang. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan satu kajian dan mendapati wujudnya keperluan untuk melakukan transformasi kurikulum sekolah rendah.

 

Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Fokus transformasi kurikulum persekolahan rendah adalah kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), sebaliknya mengambil kira kemahiran penaakulan, kreativiti dan inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta elemen keusahawanan.

 

Dalam proses transformasi kurikulum persekolahan rendah, KPM telah melakukan penandaarasan dengan kurikulum persekolahan negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan yang dibangunkan setanding dengan pendidikan global. Di samping itu, KPM turut mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, industri, akademik dan ibu bapa. Berdasarkan kepada input-input tersebut maka konsep kurikulum persekolahan rendah berasaskan standard dibangunkan.

 

Lanjutan daripada itu, konsep kurikulum persekolahan rendah mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2 Oktober 2009. KPM membangunkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum yang dibangunkan turut melibatkan kurikulum Pendidikan Khas. Bagi memastikan kurikulum tersebut mantap, pelaksanaan rintis telah dilakukan di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.

 

 


 

Hasrat KSSR

 

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri,  kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai

 

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan  Dasar Pendidikan Kebangsaan.  KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).

 

Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:

- Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial

- Warganegara yang bertanggungjawab

- Warganegara yang boleh berperanan di arena global (Global Player)

- Pekerja berilmu

 

Hasrat KSSR

 

 


 

Prinsip KSSR

 

Kurikulum Standard Sekolah Rendah mengekalkan kesemua prinsip KBSR. Prinsip ini dikekalkan kerana masih sesuai dan relevan untuk melahirkan insan yang seimbang dan holistik.  Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:

 

Prinsip KSSR

 

Pendekatan Bersepadu

Tumpuan utama diberikan kepada pendekatan bersepadu. Unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial.

 

Perkembangan Individu Secara Menyeluruh

KSSR digubal untuk memastikan semua mata pelajaran berperanan untuk memenuhi keperluan intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Setiap potensi murid dikembangkan secara bersepadu.

 

Pendidikan Saksama Untuk Semua Murid

KSSR memberi peluang yang luas dan saksama kepada semua murid untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang menyeluruh dan seimbang.

 

Pendidikan Seumur Hidup

KSSR menyediakan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh semua murid sebagai asas untuk menghadapi cabaran kehidupan seharian dan pendidikan sepanjang hayat.

 

 


 

Bentuk Kurikulum

 

Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam KSSR, merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai. Konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Enam tunjang dikenal pasti mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif. Tunjang-tunjang tersebut menggambarkan penstrukturan secara eksplisit bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu dikuasai murid. Setiap tunjang saling berhubung kait dan bersepadu.

 

Bentuk Kurikulum

 

Tunjang Komunikasi

 

Tunjang Komunikasi memberi penekanan kepada proses menggabung jalin kemahiran berbahasa dalam bentuk lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi. Tunjang ini memberi fokus kepada kemahiran bahasa seperti mendengar dan bertutur, membaca dan menulis, serta nilai tambah menaakul.

 

Murid perlu menguasai kemahiran ini bagi membantu mereka dalam proses pemerolehan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam tunjang-tunjang yang lain. Penguasaan kemahiran berbahasa menyediakan murid untuk membuat pemilihan bahasa yang bertepatan dan sistematik dalam interaksi sosial.

 

Disiplin ilmu dalam Tunjang Komunikasi ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai.

 

 

Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika

 

Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika memberi penekanan kepada perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri dan pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi. Disiplin ilmu yang membangunkan aspek fizikal ialah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Kreativiti, bakat dan apresiasi dipupuk melalui Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik.

 

 

Tunjang Kemanusiaan

 

Tunjang Kemanusiaan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan  amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global, serta penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan. Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Kemanusiaan ialah Sejarah yang diperkenalkan mulai Tahap II persekolahan.

 

 

Tunjang Keterampilan Diri

 

Tunjang Keterampilan diri memberi penekanan kepada pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Murid diberi peluang menyepadukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah dan mengamalkannya dalam kegiatan kokurikulum. Penglibatan dalam kegiatan kokurikulum seperti persatuan, badan beruniform dan sukan memberi peluang kepada murid meningkatkan potensi diri sebagai pemimpin kepada diri, rakan sebaya, keluarga dan masyarakat.

 

 

Tunjang Sains dan Teknologi

 

Tunjang Sains dan Teknologi memberi penekanan kepada penguasaan:

•    pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik

•    pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam matematik

•    pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi

 

Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Literasi Sains dan Teknologi ialah Sains, Matematik, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).

 

 

Tunjang Kerohanian, Sikap Dan Nilai

 

Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai memberi penekanan kepada bidang pembelajaran yang berfokus kepada penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Disiplin ilmu dalam tunjang ini merangkumi  Pendidikan Islam bagi murid Islam dan Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam.

 

 


 

Fokus KSSR

 

KSSR memastikan selepas enam (6) tahun persekolahan murid mencapai standard pengetahuan, kemahiran dan nilai yang ditetapkan bagi setiap tahap. KSSR memberi penekanan kepada 4M iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul. Kemahiran menaakul adalah keupayaan membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik.

Fokus KSSR

Pada Tahap I, pengajaran dan pembelajaran menekankan penguasaan asas 4M.  Penekanan diberikan untuk literasi dan numerasi bagi membolehkan murid menguasai kemahiran tersebut.  Penekanan juga diberikan kepada kemahiran nilai tambah iaitu kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan TMK.

 

Pada Tahap II, penekanan diberikan kepada pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M di samping menguasai kemahiran TMK, penguasaan kemahiran yang lebih kompleks, pemerolehan pengetahuan, dan perkembangan sahsiah.

 

 


 

Organisasi Kurikulum

 

KSSR diorganisasikan dalam bentuk modular dengan mengelompokkan mata pelajaran dalam kumpulan tertentu yang dikenali sebagai modul. Mata pelajaran juga diorganisasikan secara modular  iaitu kandungan mata pelajaran disediakan dalam bentuk modul yang kendiri-lengkap (self-contained). Setiap modul mengandungi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah dikenal pasti untuk dikuasai oleh murid.

 

Organisasi Tahap I

 

Pada Tahap I kurikulum diorganisasikan dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif. Komposisi KSSR Tahap I adalah seperti jadual di bawah.

 

KSSR Tahap 1

 

Modul Teras Asas

 

Modul Teras Asas merangkumi bidang pembelajaran asas yang terdiri daripada Modul Bahasa, Modul Matematik, Modul Pendidikan Jasmani, dan Modul Pendidikan Kesihatan. Modul-modul ini mesti dipelajari oleh semua murid.

 

Modul Pendidikan Islam mesti dipelajari oleh murid beragama Islam, manakala Modul Pendidikan Moral dipelajari oleh murid bukan beragama Islam.

 

Modul Teras Tema

 

Modul Teras Tema menggabungkan beberapa disiplin ilmu dalam satu modul. Terdapat dua modul Teras Tema iaitu Dunia Kesenian dan Dunia Sains dan Teknologi (DST). Dunia Kesenian terdiri daripada Dunia Seni Visual dan Dunia Muzik. DST pula menggabungkan disiplin Sains, Reka Bentuk Teknologi (RBT) dan Teknologi Maklumat & Komunikasi (TMK). Modul Teras Tema mesti dipelajari oleh semua murid.

 

Modul Elektif

 

Modul elektif merupakan pilihan disiplin bahasa yang ditawarkan kepada murid seperti Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun. Modul ini ditawarkan untuk membolehkan murid berkemahiran dalam pelbagai bahasa.

 

Pihak sekolah perlu memilih untuk melaksanakan sekurang-kurangnya satu bahasa dalam Modul Elektif mengikut kesediaan sekolah dalam aspek penyediaan guru, permintaan daripada murid serta prasarana sekolah.

 

Organisasi Tahap II

 

Pada Tahap II, kurikulum diorganisasikan secara modular dalam Mata Pelajaran Teras dan Mata Pelajaran Elektif. Kandungan mata pelajaran disediakan dalam bentuk modul.  Komposisi KSSR Tahap 2 adalah seperti jadual di bawah.

 

 

KSSR Tahap 2

 

 


 

Kurikulum Berasaskan Standard

 

KSSR digubal dalam bentuk pernyataan standard. Pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran yang  perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan.

 

Standard Kandungan Standard Pembelajaran
Penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Satu penetapan kriteria atau petunjuk
( indicator ) kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

 

 

Elemen Merentas Kurikulum (EMK)

 

Elemen Merentas Kurikulum ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran selain yang ditetapkan dalam standard kandungan. Elemen-elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa hadapan. Elemen merentas kurikulum yang sedia ada adalah seperti Bahasa, Sains dan Teknologi, Pendidikan Alam Sekitar, Nilai Murni dan Patriotisme.

 

Elemen merentas kurikulum yang baharu, iaitu Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan, serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi dikenal pasti sebagai pelengkap kepada usaha memantapkan kualiti pelaksanaan KSSR.

 

Guru hendaklah memastikan kesemua elemen merentas kurikulum diterapkan secara efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran demi melahirkan insan yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

 

Hubungan elemen merentas kurikulum yang sedia ada dan baharu dalam pembangunan insan yang seimbang digambarkan melalui rajah di bawah.

 

 

EMK

 

 


 

 

Perbezaan KBSR dan KSSR

 

Perbezaan KBSR dan KSSR

 


 

KSSR Pendidikan Khas

 

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Khas dibina selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, berlandaskan prinsip-prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup. KSSR Pendidikan Khas merangkumi kurikulum bagi murid bermasalah pendengaran, bermasalah penglihatan dan bermasalah pembelajaran.

 

Murid Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan) secara umumnya menggunakan kurikulum aliran perdana. Sungguh pun begitu, terdapat beberapa pengubahsuaian dilakukan terhadap beberapa mata pelajaran aliran berkenaan (khususnya dari segi pendekatan pengajaran dan pembelajaran) selaras dengan keperluan khas pembelajaran. Murid Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan) masing-masing turut diwajibkan mempelajari mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) dan Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan (KAIMaL).

 

Kurikulum Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dibina berdasarkan tahap keupayaan dan keperluan murid. Kurikulum bagi kumpulan murid ini lebih berfokus kepada penguasaan kemahiran bagi memenuhi keperluan individu, dan tidak terlalu menekankan akademik. Di Tahap I, murid Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) disediakan mata pelajaranAsas 3M, Pengurusan Kehidupan, Seni Kreatif, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Jasmani. Sementara itu di Tahap II, disediakan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Sains, Sosial dan Alam Sekitar, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, Kemahiran Hidup Asas, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, dan Pengurusan Kehidupan.

 

Program pengajaran dan pembelajaran bagi ketiga-tiga kategori ini juga dibentuk secara fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997.