Rumah Melayu Tradisional


Pengenalan

Seni bina rumah Melayu tradisional dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat Melayu serta hubungan mereka yang sangat erat dengan alam sekitar. Antara faktor yang mempengaruhi seni bina rumah Melayu ialah faktor iklim, agama Islam, sosial dan alam sekitar.

Faktor agama Islam menyebabkan rumah didirikan mengikut arah kiblat dan ruang di antara kaum lelaki dan perempuan dipisahkan. Faktor iklim pula menyebabkan

sebahagian besar rumah Melayu tradisional ini bertiang @ berpanggung dengan lantainya tinggi daripada permukaan tanah yang dapat mengatasi kelembapan tanah. Selain itu dapat mencegah ruang di dalam rumah ditenggelami air jika berlaku banjir.

Pada peringkat awal rumah Melayu tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat. Bentuk rumah ini berubah mengikut arus perubahan di mana kemudiannya muncul pula rumah bertiang @ berpanggung dengan kedudukan lantainya yang tinggi dari aras tanah dan mengandungi ruang serta berdinding.

Bentuk bumbung seperti huruf V terbalik diperkenalkan. Pada pertemuan di sebelah puncak tutup bumbungnya dipisahkan oleh banir yang dipanggil tulang perabung @ tulang bumbung. Bentuk bumbung ini dikenali juga dengan bumbung lipat kajang @ bumbung panjang. Selepas kedatangan penjajah Belanda dan Inggeris, rumah berubah bentuk kepada bentuk limas @ bumbung Belanda.

Selaras dengan perubahan dan perkembangan teknologi, kaedah membina rumah juga berubah. Di peringkat awal, sistem mendirikan rumah hanya dengan cara diikat dan tarahan tanggam. Sistem tebuk kemudiannya diperkenalkan. Begitu juga penggunaan paku kayu yang dikenali juga dengan pemeting untuk menguatkan persediaan rangka rumah.

Pada peringkat awal tiang rumah berbentuk bulat dan rotan @ akar digunakan untuk menguatkan persendian. Tarahan tanggam dibuat untuk mengejapkan persendian seterusnya tiang bersegi dan ditebuk untuk laluan kayu rasuk dan alang serta dibaji.

Penggunaan alat seperti ketam, gergaji dan alat tebuk menebuk membolehkan lantai dan dinding rumah yang lebih baik bagi menggantikan balak kayu yang digergaji. Penggunaan papan untuk dinding dan lantai diperkenalkan untuk menguat dan merapi rumah. Susunan sambung menyambung untuk dinding yang dikenali dengan sambungan tindih kasih dan sambung berlidah telah memperlihatkan susunan dinding secara melintang, menegak dan juga menyerong.

Pengaruh kebudayaan luar khususnya daripada Kepulauan Melayu seperti Pattani, Acheh, Minangkabau, Jawa, Bugis, Riau, Jambi, dan Bajau telah mempengaruhi senibina dan reka bentuk rumah Melayu. Maka lahirlah rumah berbentuk Minangkabau, Bugis dan lain-lain.

Kedatangan penjajah Barat khususnya Belanda dan Inggeris telah menyebabkan rumah Melayu berubah bentuk daripada rumah bumbung panjang kepada rumah limas iaitu berbeza pada kedudukan bumbungnya.

Dikatakan semua negeri di Malaysia, rumah Melayu tradisional terdiri dari rumah bumbung panjang tetapi selepas kedatangan penjajah ia berubah bentuk kepada bentuk limas @ bumbung Belanda.

Di Kedah dan Perlis, rumah Melayu yang berbumbung panjang dikenali dengan Rumah Serambi Kedah @ kadangkala dipanggil, rumah panjang sahaja. Di Kelantan dan Terengganu, terdapat dua jenis rumah bumbung panjang iaitu rumah tiang dua belas dan rumah bujang. Di Pulau Pinang dan Seberang Prai, rumah berbumbung panjang ini dipengaruhi oleh senibina rumah panjang di Melaka. Di Perak, rumah bumbung panjang dikenali dengan Rumah Kutai dan Rumah Potong Pattani.

Di Selangor dan Wilayah Persekutuan, rumah bumbung panjang dipengaruhi oleh senibina rumah bumbung panjang di Melaka dan Negeri Sembilan. Di Negeri Sembilan, rumah bumbung panjang dipengaruhi oleh senibina rumah adat @ rumah gadang dari Minangkabau dan terbahagi kepada rumah bujang, rumah tiang dua belas dan rumah tiang enam belas. Di Melaka rumah bumbung panjang juga dikenali dengan Rumah Serambi Melaka dan terbahagi kepada rumah tiang dua belas dan rumah tiang enam belas.

Rumah Melayu Tradisional di Terengganu

a) Bentuk Rumah

Bentuk sesebuah rumah dikenal pasti berdasarkan bentuk bumbung.
Bumbung merupakan elemen terpenting yang membezakan bentuk–bentuk rumah tradisional di Terengganu.
Ada lima bentuk rumah Melayu tradisional di Terengganu.

Dangau / Teratak / Rumah Gajah Menyusu

Bentuk rumah terawal dibina di Terengganu ialah bentuk bumbung panjang dan bertebar layar dikenali dengan dangau @ teratak @ dikenali dengan rumah gajah menyusu kerana rumah ini disambung dengan satu unit lagi rumah yang lebih kecil ukirannya.

Bumbung serta lantai lebih rendah daripada rumah ibu dan ruang tambahan dijadikan ruang dapur. Dibina dengan menggunakan bahan-bahan seperti buluh, kayu bulat, kulit kayu dan beratap daun. Sistem sendi yang mudah iaitu diikat dengan rotan @ akar kayu.

Rumah Berserambi

Bentuk rumah Melayu paling popular di Terengganu sebelum kedatangan pengaruh asing. Rumah ini mempunyai bumbung yang panjang dan melintang. Biasanya rumah jenis ini mempunyai dua pemeleh yang besar dan tebal di setiap hujung perabung.

Terdapat beberapa bentuk rumah ini dengan berbagai nama berdasarkan ruang dan tiang. Jika rumah dibina atas enam batang tiang dikenali dengan rumah bujang atau rumah berpeleh tiang enam. Jika terdapat dua unit rumah tiang enam yang bercantum dikenali dengan rumah bujang atau rumah tiang enam berkembar. Jika didirikan di atas dua belas batang tiang dikenali dengan rumah berserambi atau rumah tiang dua belas dan jika ditambah empat batang lagi maka ia dikenali dengan rumah berserambi tiang enam belas.

Di Terengganu, rumah berserambi biasanya menggunakan empat keping pemeleh di setiap hujung perabung. Jika menggunakan tiga keping pemeleh, ia dikenali dengan rumah berserambi selasar dan lantai ruang selasar lebih rendah daripada lantai serambi. Terdapat sebuah tangga yang menghubungkan serambi dan selasar dan antara selasar dengan tanah.

Rumah Bujang Barat

Rumah jenis ini mempunyai bentuk bumbung yang hampir sama dengan rumah berpeleh tetapi pemelehnya lebih kecil. Juga terdapat bentuk rumah seakan-akan rumah limas Belanda di mana pemelehnya sampai ke kaki atap dan sesetengahnya mempunyai buah guntung.

 

Rumah Perabung Lima / Limas Bungkus

Rumah jenis ini mempunyai lima batang perabung iaitu satu perabung lurus dan empat perabung menurun ke cucuran atap

Rumah Potong Belanda/ Limas Belanda

Rumah jenis ini berasal daripada rumah Limas Bungkus tetapi telah diubahsuai untuk menampakkan imej melayu iaitu dengan menambah bukaan atap kecil seperti V terbalik di sebelah atas supaya udara dapat masuk di dalam rumah.

Bahagian pembukaan dikenali dengan nama tebar layar dan dipasang pemeleh. Pemeleh akan dicantum kepada sebatang kayu yang dipanggil buah guntung. Rumah jenis ini, pemeleh yang dipasang tidak sampai ke penghujung @ cucuran atap.

..teruskan

Butiran Projek | Rumah | Aktiviti
E-Album | E-Galeri | Pautan


© 2003 ICT - IN - CONTACT. Malaysia Ministry of Education. All rights reserved