Program Pemantauan Pengajaran dan Pembelajaran
Print

Pendahuluan

Pemantauan adalah sebahagian daripada proses pendidikan ke arah penambahbaikan tingkahlaku pengajaran, persekitaran pembelajaran, kurikulum dan perkembangan profesional. Setiap organisasi pendidikan wajar mempunyai program pemantauan yang sistematik bagi melihat perjalanan pelaksanaan aktiviti akademik.. Bahagian Matrikulasi KPM khususnya, Sektor Hal Ehwal Akademik, telah melaksanakan program pemantauan akademik semenjak  mula beroperasi pada tahun 1999 

Objektif Pemantauan

a.  memantau pelaksanaan kurikulum dan pengurusan kurikulum, kemudahan prasarana pengajaran-pembelajaran dan pengendalian kelas/bengkel/amali.

b.  mengumpul maklum balas, mengenal pasti keperluan pensyarah dan mencadangkan tindakan susulan  dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.

Kaedah Pemantauan

Pemantauan yang berkesan dan menepati objektif hanya boleh dilakukan melalui satu proses kerjasama yang sistematik antara pegawai pemantau dan pensyarah yang dipantau. Sehubungan  dengan itu, perbincangan dua hala yang melibatkan  proses memberi dan menerima harus sentiasa berlaku.

Pelbagai pendekatan pemantauan telah dicadangkan tetapi kaedah Penyeliaan Klinikal(Clinicall Supervision) dianggap terbaik yang mana ianya  melibatkan lima langkah penting yang perlu dilaksanakan terhadap pensyarah yang dipantau:

1.    Mengadakan perbincangan sebelum pemerhatian

 

2.    Mengumpul data/maklumat semasa pemerhatian

 

3 Mengadakan perbincangan selepas pemerhatian

 

4.   Menganalisis data/maklumat dari pemerhatian

 

5. Memberikan bimbingan, cadangan dan penilaian

 Tatacara Pemantauan       

 (i)  Mengadakan perbincangan dengan Ketua-ketua Jabatan/ Ketua Unit dan pensyarah untuk mendapat maklumat dari segi pelaksanaan kurikulum bagi semua mata pelajaran.

 (ii)    Memantau pelaksanaan pengajaran pembelajaran supaya menepati kehendak kurikulum.

 (iii)  Memantau pengendalian pengajaran dan pembelajaran kelas Biologi, Kimia, Fizik, Matematik dan Sains Informatik dalam Bahasa Inggeris.

(iv)   Memeriksa pelbagai kemudahan pengajaran dan pembelajaran seperti  kemudahan makmal sains, makmal bahasa dan makmal komputer, bilik kuliah dan bilik tutoran

(v)     Mengenalpasti keperluan dan permasalahan pensyarah serta memberi cadangan untuk tindakan susulan.